loading...

Pengetua Atau Guru Boleh Rotan Pelajar Mulai 2017


PUTRAJAYA - Pengetua atau guru akan diberikan kuasa penuh untuk melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin di sekolah, lapor Utusan Malaysia

Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon berkata, bagaimanapun proses hukuman itu tidak akan dilakukan di depan khalayak ramai semasa perhimpunan, sebaliknya di dalam bilik. 

Cadangan itu merupakan antara penambahbaikan peraturan disiplin pelajar yang bakal dilaksanakan bermula sesi persekolahan 2017. 

Katanya, antara penambahbaikan peraturan adalah kewujudan jawatankuasa disiplin di peringkat sekolah dan mewajbikan sesi kaunseling kepada pelajar bermasalah. 

"Kementerian sedang membuat kajian terhadap garis panduan sedia ada iaitu Peraturan-Peraturan Disiplin Pelajar 1959 yang terkandung dalam Ordinan Pendidikan 1957 sebelum draf penambahbaikan itu dibawa ke Jabatan Peguam untuk diperhalusi. 

"Usaha penambahbaikan ini bertujuan menjadikan peraturan disiplin di sekolah lebih komprehensif agar pihak sekolah dapat mengawal tingkah laku pelajar dan murid dengan lebih teratur," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin, hari ini. 

Mesyuarat tersebut disertai oleh pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menggariskan empat pendekatan bagi mengatasi masalah disiplin dalam kalangan pelajar. 

"Pembentukan disiplin remaja harus menjadi tanggungjawab semua pihak sekiranya kita mahu melahirkan modal insan kelas pertama dengan memfokuskan kepada pembinaan insan bersahsiah tinggi," katanya. - UTUSAN MALAYSIA / PIXEL MEDIA

Post a Comment

0 Comments