loading...

Sayu : Aizat anak bermata biru yang bisu .. hilang ibu bapa adik sekelip mata (10Gambar)


SUNGAI PETANI : Walaupun sudah bergelar yatim piatu kanak-kanak bermata biru, Mohd. Aizat Aiman Mohd. Rizal, 8, reda dengan kehilangan ibu bapanya itu dalam sekelip mata.

Ketika berinteraksi menggunakan bahasa isyarat, Mohd. Aizat yang menghadapi masalah pekak dan bisu itu memberitahu, dia berjanji untuk tabah dan menjadi seorang yang berdikari tanpa terlalu membebankan anggota keluarga­nya yang lain termasuk datuknya.

“Dulu kehidupan saya setiap hari banyak bergantung dengan mereka sahaja, hendak beli apa saja saya minta, mereka terus beli.

“Tetapi sekarang tentu susah sikit untuk mendapatkan semua itu dan apabila mengenangkan kehilangan kedua-duanya, saya menangis tanpa henti tetapi saya harus kuat,” katanya ketika ditemui di Kampung Telok Amboi di sini hari ini.

Katanya, buat sementara waktu, dia akan tinggal di rumah datuknya, Ahmad Mustafa, 66, di Kampung Teluk Amboi.








“Soal saya hendak belajar di Sekolah Pendidikan Khas Tanjung Bunga, Pulau Pinang akan ditentukan oleh keluarga nanti.

“Ramai keluarga di sini, saya mahu belajar di Sekolah Pendidikan Khas di Merbok sahaja kerana dekat dengan rumah berbanding belajar di Sekolah Pendidikan Khas Tanjung Bunga, keluarga susah hendak pergi ke sana,” katanya.

Ibu bapanya, Mohd. Rizal Salim, 39, dan Norain Ahmad, 36, yang sarat mengandung meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 0.5, Jambatan Pulau Pinang petang semalam.

Pasangan berkenaan yang menghadapi masalah pekak serta bisu dan kisah budak mata biru tersebut pernah menjadi tumpuan penduduk di negeri ini apabila kisah mereka tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24 April 2010 lalu.

Bapa saudara Mohd. Aizat Aiman, Mohd. Arif Ahmad, 21, berkata, anak saudaranya itu begitu sedih apabila melihat gambar ibu bapanya melalui telefon bimbit mengenai kemalangan itu.

“Saya amat faham masalahnya hasil daripada melihat bahasa isyarat yang digunakan.

“Kemalangan itu berlaku semasa Mohd. Aizat berada di asrama manakala ibu bapanya pula sedang menaiki sebuah motosikal dari rumah iaitu Kampung Sungai Pinang, Pulau Pinang menuju ke Sungai Rambai, Bukit Mertajam,” katanya.

Sebagai waris terdekat, Mohd. Arif memberitahu, dia dengan bapanya, Ahmad serta anggota keluarga yang lain sanggup melakukan apa sahaja, termasuk membesar Mohd. Aizat serta memberikan pelajaran secukupnya sehingga berjaya dalam kehidupan nanti.

Jenazah pasangan itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Amboi, Kota Kuala Muda di sini hari ini.-UTUSAN


Post a Comment

0 Comments