KEMAMAN : Kematian seorang gadis berumur 22 tahun yang berat badannya hanya 18 kilogram serta tubuh dipenuhi kesan gigitan manusia membongkar rahsia penderitaan ditanggung mangsa yang dipercayai didera hingga menemui ajal dan diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kematian mangsa, Siti Hajar Anuar selepas laporan dibuat oleh bapa kepada gadis malang itu pada 26 April lalu. Menurutnya, bapa mangsa memaklumkan bahawa anaknya itu meninggal dunia di rumah mereka di Batu 5, Binjai disebabkan demam panas.
Ujarnya, bagaimanapun pihak polis yang datang menjalankan pemeriksaan terhadap mayat mangsa mendapati kematiannya mencurigakan. “Pada peringkat awal kita buka kes di bawah mati mengejut tetapi selepas pemeriksaan dilakukan kita dapati ada unsur-unsur jenayah dan susulan itu mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.
“Selepas dua bedah siasat dijalankan kita dapati mayat tersebut mengalami jangkitan kuman dan ada kesan kebuluran. Sebahagian besar tubuh mangsa juga ada kesan gigitan manusia dan selain itu mangsa turut mengalami beberapa kecederaan lain termasuk lebam di bahagian mata,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis daerah sini hari ini.
Mohd. Said memberitahu, berikutan itu kematian mangsa disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. “Daripada hasil siasatan, kita dapati mangsa tinggal bersama bapa kandungnya yang bekerja sebagai mekanik, ibu tiri dan dua adiknya iaitu adik perempuan yang berusia 21 tahun dan adik lelaki berumur 14 tahun di Kampung Batu 5, Binjai di sini.
“Susulan itu, kita menahan bapa kandung mangsa yang berusia 49 tahun, ibu tirinya yang berumur 35 tahun dan kedua-dua adik mangsa pada pukul 11.50 pagi semalam. Keempat-empat mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan lanjut kes itu,” katanya. Difahamkan, mangsa yang merupakan anak kedua daripada empat beradik berada di bawah penjagaan bapanya bersama dua lagi adiknya selepas kedua ibu bapanya bercerai. Adik lelakinya yang berumur 14 tahun itu juga sudah tidak bersekolah.
Ibu kandung mangsa merupakan wanita Cina mualaf dan menetap di Pulau Pinang. Mohd. Said menjelaskan, disebabkan kematian mencurigakan itu ibu kandung mangsa turut membuat laporan polis agar siasatan lanjut dilakukan berhubung kematian anaknya itu. “Dalam siasatan lanjut kes ini, pihak polis juga akan dapatkan ujian perubatan gigi terhadap suspek, kita akan minta khidmat pihak doktor gigi,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Said meminta saksi terutama jiran tetangga mangsa yang tahu kemungkinan mangsa didera agar tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Lokman Nor Hakim menerusi talian 017-2344542 atau 09 - 8591222 atau mana mana balai polis yang berhampiran. Mayat mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kemaman pada pukul 6 petang, 30 April lalu. - UTUSAN ONLINE
0 Comments